43 kertas siasatan kes ‘scammer’ dibuka, babitkan kerugian cecah RM2.9 juta di Kuching sejak Januari

File photo for illustration purposes only. Photo credit: BearyBoo from Pixabay
Advertisement

KUCHING, 4 April: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching merekodkan 49 kertas siasatan kes penipuan (scammer) dari Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kes-kes tersebut melibatkan kerugian keseluruhan mencecah RM2,940,124.71.

Katanya, mangsa-mangsa adalah terdiri daripada pegawai kerajaan, agensi swasta, pelajar dan suri rumah berusia lingkungan 19 hingga 70 tahun.

Advertisement

“Modus operandi kes penipuan ‘scammer’ adalah melibatkan penipuan secara atas talian melalui, penggilan telefon, iklan media sosial seperti Facebook,Instagram, TikTok, WeChat dan sebagainya.

“Mangsa yang terlibat dengan penipuan ini akan diarahkan suspek untuk menyerahkan maklumat perbankan atau meminta mangsa untuk membuat pindahan wang ke akaun bank pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 33 kes daripada 49 kertas siasatan yang dibuka telah dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dengan sebat dan juga dikenakan denda,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang awam agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang tidak dikenali serta iklan-iklan di media sosial.

“Sekiranya terdapat kemuskilan, boleh hubungi 997 (National Scam Response Centre) atau hadir di balai polis dan bank berhampiran,” katanya. — DayakDaily

Advertisement