Balai polis Matang bernilai RM24 juta dijangka siap dalam tempoh 2 tahun

Leong (tengah) menyaksikan Joshua (kiri) menerima surat serah tugasnya dari Mansur (kanan) di IPD Padawan.

PADAWAN, Mac 26: Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menjangkakan yang projek pembinaan balai polis Matang yang baru bernilai RM24 juta akan siap dan beroperasi dalam tempoh dua tahun lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata ketika ini projek tersebut masih dalam peringkat mengeluarkan tendernya bagi dibida syarikat pemaju yang membina balai baru itu yang terletak di tapak tanah seluas 1.7 hektar di belakang satu pusat latihan memandu di Matang.

“Projek pembinaan balai polis Matang terbabit sudah diluluskan peruntukannya pembinaanya sebanyak RM24 juta dan dijangkakan akan dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun. Pembinaan balai terbabit akan merangkumi bangunan balai polis dan rumah kediaman bagi keluarga anggota polis,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan di IPD Padawan, Siburan, di sini, hari ini.

Di majlis berkenaan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kontinjen Sarawak, ACP Dennis Leong Soon Kuai menyaksikan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan yang baru, ASP Joshua Masing Lugoh menerima surat serah tugasnya dari Inspektor Mansur Rahman.

Merbin berkata sebelum ini pihaknya memohon pihak atasan polis supaya memberikan kekuatan seramai 160 angota polis bagi ditempatkan di balai polis Matang selepas pembinaanya siap dalam dua tahun lagi.


“Tetapi berkemungkinan kekuatan balai terbabit akan kurang dari 100 anggota polis dan tetapi ketika ini ini kami masih membincangkan perkara itu dengan pihak atasan,” katanya.

Tambah beliau ini kerana kawasan Matang ketika ini memerlukan kemudahan balai polis dengan anggota yang mencukupi berikutan kawasan itu sedang pesat membangun dengan pembukaan banyak taman perumahan baru yang perlu dijaga keselamatannya dari kegiatan jenayah.

“Ketika ini kami hanya ada satu pondok polis di Matang yang menyewa lot kedai dan hanya mempunyai kekuatan seramai lima anggota polis dan pondok polis terbabit hanya beroperasi mengikut waktu pejabat atau dibuka sehingga jam 5 petang sahaja,” katanya.

Katanya anggota bertugas di pondok polis di Matang itu juga dipinjamkan dari balai polis Batu Kawa dan sehubungan itu pihaknya amat mengharapkan pembinaan balai polis Matang supaya dapat memberikan perkhidmatan kepolisan selama 24 jam untuk penduduk kawasan Matang. — DayakDaily