4 warga Indonesia ditangkap dalam serbuan pusat panggilan judi online di Stutong

Pasukan operasi melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Advertisement

KUCHING, 26 Nov: Seorang remaja berusia 14 tahun merupakan antara empat lelaki yang ditahan dalam satu serbuan pusat panggilan judi dalam talian semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Stutong di sini sekitar jam 1.20 petang.

Awang Din memberitahu kesemua suspek merupakan warganegara Indonesia berusia lingkungan 14 tahun hingga 29 tahun.

Advertisement

“Kesemua suspek dipercayai pekerja di premis tersebut yang akan berurusan dengan pelanggan atau permain judi menerusi aplikasi whatsapp dan wechat.

“Sebaik bayaran dibuat, pekerja terbabit akan memberikan kata laluan kepada pelanggan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, semua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1954 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka kini ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut.

“Manakala pasukan operasi turut merampas pelbagai peralatan komputer dan telefon bimbit untuk membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement