32 ‘tahi dadah’ termasuk seorang wanita dicekup

Royal Malaysia Police logo

MIRI, April 11: Seramai 32 individu termasuk seorang wanita yang sedang khayal selepas disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dicekup menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Krokop di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt. Sahar Abd Latif berkata, kesemua ‘tahi dadah’ itu diberkas sepasukan anggota polis dari JSJN dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Katanya, semua 31 lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 20 hingga 41 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 petang.


“Semasa serbuan dilakukan, kesemua individu terbabit sedang khayal dan leka dan disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, kejayaan itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan kira-kira dua jam di sekitar lokasi serbuan.

Katanya, kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Sentral Miri untuk siasatan selanjutnya.

“Siasatan mendapati semua suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Dua lelaki akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seramai selebihnya ditahan mengikut Seksyen15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily