Lapan mangsa selamat dalam nahas jalan raya

Anggota bomba memeriksa keadaan Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan.

LAWAS, April 11: Berpantang maut sebelum ajal.

Itulah yang berlaku ke atas lapan individu yang terselamat selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kuala Lawas di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu melibatkan masing-masing sebuah Perodua Alza dan Toyota Hilux.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.22 petang.

Katanya, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati dua daripada tiga orang dalam Perodua Alza cedera.

“Begitu juga, dua daripada lima orang dalam Toyota Hilux dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, kesemua mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan bomba kemudian membuat ‘flushing’ bagi memastikan lokasi kemalangan selamat untuk pengguna jalan raya lain.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.28 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily