32 NGO seluruh Malaysia setuju hentikan provokasi isu Jawi

Waytha (duduk lima dari kiri) bersama wakil wakil NGO di perbincangan berhubung isu Jawi di Kuala Lumpur.

KUCHING, Jan 7: Sebanyak 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia setuju untuk menghentikan provokasi terhadap isu Jawi.

Persetujuan ini dicapai pada pertemuan dengan Menteri Perpaduan Waytha Moorthy Ponnusamy di Kuala Lumpur hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Sekretariat Seni Khat Action Team (Sekat) Sarawak dibawah Terabai Kenyalang Heritage Association Sarawak (TKHAS) dan Gabungan SEKAT Nasional.


Setiausaha TKHAS William Mangor menerusi satu kenyataan media berkata perbincangan wakil-wakil NGO bersama menteri telah bersetuju tugas mengeratkan perpaduan adalah misi utama.

“Semua pihak diminta agar menghentikan provokasi terhadap isu Jawi ini dan semua dasar yang dibuat oleh pihak kerajaan mesti menghormati semangat perlembagaan,” katanya.

Perbincangan itu juga disertai wakil dari NGO GABUNG, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Bahasa Cina dan banyak lagi termasuk para pendidik dan profesor.

Sarawak turut diwakili Bobby William iaitu dari Dayak Right Action Force (DRAF), manakala Sabah diwakili Jalumin Bayogoh dari Dayak International Organisation (DIO) dan Jafrey Jamion dari Hak Asasi Rakyat Untuk Sabah (HARUS).

Dalam pada itu, Sekat Nasional dan Sarawak akan mengadakan Kongres Jawi Kebangsaan di Kuching pada Febuari 9.

Ia bakal dihadiri oleh panel-panel dari Semenanjung dan aktivis-aktivis Sarawak yang terkenal. — DayakDaily