300 isi rumah di Batang Lupar terima manfaat program Selami Kasih YKN 2018

Rohani (duduk lima dari kiri) bersama penerima program Selami Kasih YKN 2018.

SEBUYAU, April 24: Sebanyak 300 isi rumah di kawasan Parlimen Batang Lupar telah dikenalpasti untuk menerima manfaat melalui program Selami Kasih YKN 2018 anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Program Selami Kasih YKN 2018 merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu kes-kes bantuan luar jangka melalui sokongan kewangan serta merta sebagai tanda keprihatinan Kerajaan kepada golongan yang memerlukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penerima bantuan Program Selami Kasih YKN 2018 itu bukanlah klien bantuan e-Kasih yang diperuntukkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, ada sesetengah di antara mereka tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

“Jadi dengan menjalankan konsep cari dan bantu, kita telah dapat mengenal pasti mereka serta tindakan susulan segera akan diambil,” ujar yang merasmikan program berkenaan Peringkat Parlimen Batang Lupar di sini.


Tambah Rohani, bantuan segera itu diyakini dapat melegakan golongan yang berkelayakan sementara mereka mendapat bantuan susulan daripada lain-lain agensi yang biasanya memerlukan sedikit masa bagi tujuan penilaian dan kelulusan.

“YKN mula mengagihkan bantuan tunai kepada 300 penerima di sekitar Parlimen Batang Lupar selain barangan dapur dan keperluan asas secara langsung kepada penerima.

“YKN agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menggerakkan 4,000 tenaga sukarelawan di kalangan masyarakat tempatan yang digelar Sukarelawan Selami Kasih untuk mengenal pasti penerima seterusnya menyelaras bantuan serta menyelami permasalah masyarakat,” ujarnya lagi.

Program Selami Kasih YKN telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Mac 7, 2018 dan menyasarkan seramai lebih 50,000 orang penerima di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam majlis sama, Rohani turut menyampaikan bantuan kepada 20 penerima dari rumah ke rumah di sekitar Lingga, Maludam dan Sebuyau hari ini bersama 20 Sukarelawan Selami Kasih yang turut membantu. — DayakDaily

Share this article!