30 minit aksi kejar-mengejar, polis terpaksa lepaskan tembakan ke udara

Pihak polis berjaya menahan suspek berusia 21 tahun yang melarikan sebuah kereta jenis Perodua Kancil selepas aksi kejar mengejar pada tengahari semalam (28 Sept 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Sept: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan selepas melarikan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari sebuah rumah di Taman Tunku semalam.

Dalam kejadian, pihak polis terpaksa melepas satu das tembakan ke udara sebelum kereta dipandu suspek berhenti di Jalan Bypass Miri sekitar jam 12.50 tengahari itu.


Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis mendapati kereta tersebut telah dicuri dari sebuah rumah di Taman Tunku sekitar jam 6 pagi hari yang sama.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, penahanan itu dibuat selepas aksi kejar-mengejar selama 30 minit di kawasan Taman Tunku dan Jalan Bypass Miri.

“Penahanan suspek turut membawa penemuan dua buah motorsikal curi dan lima lagi lelaki dipercayai rakan sejenayah,” ujarnya.

Kesemua suspek berusia sekitar 21 hingga 31 tahun itu kini sedang ditahan untum siasatan lanjut di Balai Polis Pusat Miri.

Dengan penahanan kesemua suspek, polis menyelesaikan empat kes jenayah harta benda dan satu kes ugutan jenayah.

Siasatan awal mendapati, tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah.

Kes disiasat mengikuy Seskyen 379A Kanun Keseksaan. — DayakDaily