30 individu ditangkap disyaki terlibat kegiatan dadah di Kuching dalam tempoh seminggu

Gambar komposit menunjukkan dadah-dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 19 Julai: Seramai 30 individu, termasuk seorang wanita ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah di Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek ditangkap di sekitar Kuching dalam tempoh 11 hingga 17 Julai.

Katanya. kesemua suspek terbabit yang ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching berumur dalam lingkungan 21 tahun hingga 36 tahun.

Jelasnya, tiga kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 22 kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Pasukan operasi turut merampas syabu seberat 31.19 gram, ketamin (5.95 gram), ganja (7.18 gram) dan pil erimin 5 (empat biji).

Selain itu, Ahsmon berkata enam orang suspek mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah dadah boleh diselurkan terus kepada pihak polis agar tindakan segera dapat diambil. — DayakDaily