3 sekawan disyaki curi kereta dari bengkel ditahan polis

Ketiga-tiga suspek (depan) ditahan sepasukan anggota JSJ IPD Miri petang semalam.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Sept: Tiga sekawan yang disyaki terlibat mencuri sebuah kereta jenis Honda Civic Ferio dari sebuah bengkel di Krokop di sini dicekup polis petang Selasa di dua lokasi berasingan.

Tangkapan dilakukan sekitar jam 6.30 sehingga 7malam itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri, susulan laporan daripada pemilik kenderaan terbabit yang berusia 43 tahun.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, laporan dibuat setelah mangsa mendapati kereta yang dihantarnya ke bengkel tersebut sejak tahun 2018 hilang pada tengahari Selasa (7 September).

Ketiga-tiga suspek berusia 31, 33 dan 36 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan pada Selasa.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah engin kereta tertera jenama Honda, tiga unit pintu kereta, dua buah kerusi kereta dan dua unit gear box.

Salah seorang suspek merupakan warga Brunei ditahan bersama suspek kedua di sebuah rumah di Kampung Pulau Melayu, manakal suspek pertama di Tudan fasa 3.

Difahamkan, pada hari tersebut, mangsa telah mengunjungi bengkel itu untuk melihat keadaan keretanya sejak dihantar pada tahun 2018 bagi melakukan kerja-kerja pembaikan kerosakkan.

Namun, mangsa dikejutkan apabila mendapati keretanya telah hilang disyaki telah dicuri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily