3 maut, 1 parah van bertembung dengan 4WD

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

SERIAN, Dis 23: Tiga maut, seorang parah dan tiga cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 16, Jalan Serian-Tebedu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang maut ialah Henry Gek, 51, Susin Tatak, 49, dan Olovia Natasa Dismas, 20.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, kejadian itu melibatkan sebuah van jenis Nissan Vannette dan 4WD jenis Nissan Frontier.


Katanya, sebelum kejadian, van yang dipandu oleh Henry dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Tebedu ke arah pusat bandar Serian.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Nissan Frontier yang dipandu seorang lelaki dikatakan tiba-tiba memotong kenderaan lain semasa menaiki Bukit Binog lalu bertembung dengan sebuah van di laluan bertentangan.

“Impak pelanggaran kuat itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan tersebut remuk dan menyebabkan pemandu serta penumpang depan van berkenaan tersepit dan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, nahas tersebut juga mengakibatkan penumpang yang duduk di belakang van tersebut menemui ajal.

Namun katanya, pemandu Nissan Frontier itu mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.

“Mayat ketiga-tiga mangsa sudah dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily