Lelaki maut, kepala digilis lori

Keadaan mangsa yang digilis lori.

BINTULU, Dis 23: Seorang lelaki warga emas maut dalam keadaan ngeri apabila kepalanya digilis tayar sebuah lori dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Nyigu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Yu Teck Kiang, 63, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada bahagian kepalanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar Bintulu menuju ke Jalan Nyigu di sini.


Bagaimanapun katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan gagal mengelak lori yang tiba-tiba memberi isyarat membelok ke simpang di kiri jalan di situ.

“Mangsa tidak sempat membrek motosikal jenis Yamaha Lagenda miliknya kerana dikatakan membonceng motosikal itu secara rapat di belakang lori tersebut.

“Kesan pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan kepalanya telah digilis kenderaan jenis Nissan Dumper,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, pemandu lori berusia 27 tahun berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily