288 individu lengkapkan dos kedua vaksin Covid-19 di Bau

Kelihatan pertugas JKNS sedang memberikan suntikan dos kedua vaksin Pfiizer BioNTech kepada 288 individu di Bau. Foto ihsan UKAS

BAU, 2 Mei: Seramai 288 individu berjaya melengkapkan dos kedua suntikan vaksin Covid-19 di sini hari ini.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Daerah Bau yang melibatkan pertugas barisan hadapan di daerah ini dilaksanakan di Dewan Perdana, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Sarawak.

Seramai 26 petugas dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) terlibat dalam proses memberikan vaksinasi terbabit.


Kesemua 288 individu terbabit sebelum ini menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer BioNTech di Klinik Kesihatan Singai, di sini.

Penerima vaksin berkenaan merupakan kakitangan  dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Pejabat Daerah Bau, Majlis Daerah Bau, Kastam Diraja Malaysia Bau, Rela Bau, Jabatan Penerangan Bau, Pejabat Kesihatan Daerah Bau, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bau dan Pejabat Pendidikan Daerah Bau. — DayakDaily