KUCHING, 15 Dis: Sejumlah 28 kampung di tiga kawasan di Krian hari ini menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) yang meliputi kawasan seluas lebih 4,500 hektar.
Ia melibatkan kawasan Mapar, Babang dan Rimbas, Krangan Rasa Ulu di Krian dan kawasan Kedap dan Malupa di Awik.
Pada majlis yang sama, sejumlah 79 individu turut menerima Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Sungai Krian dan Sungai Kabo di Saratok.
Manakala 141 individu yang merupakan peserta program pembangunan tanah Salcra di Roban South dan Roban North turut menerima Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia adalah komitmen kerajaan untuk memberi pengiktirafan terhadap tanah ‘temuda’ rakyat.
“Ia bukti nyata bahawa setelah tanah disukat dengan Seksyen 6, ia kemudiannya akan disukat dengan Seksyen 18 di mana surat hak milik tanah diberi percuma kepada pemiliknya.
“Ramai lagi yang akan dapat manfaat. Justeru, jangan percaya kepada hasutan daripada seorang individu bahawa kerajaan menggunakan Seksyen 6 untuk merampas tanah rakyat.
“Tetapi beliau sendiri menggunakan Seksyen 6 dan memperolehi surat hak milik dengan Seksyen 18,” kata Uggah.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) di Dewan Serbaguna Ladang Kelapa Sawit Roban Selatan di Saratok.
Penyerahan telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah Uggah, dasar baru pembangunan tanah Salcra adalah setiap peserta akan diberikan surat hak milik tanah dalam tempoh 3 tahun menyertainya.
“Komitmen kerajaan dan dasar baru ini menentukan keselamatan tanah bumiputera rakyat terjamin.
“Ketua Menteri telah mengambil langkah berani dengan melakukan pindaan terhadap kod tanah negeri yang melibatkan pemakai menua,” ujar beliau.
Pada majlis yang sama, Uggah menyerahkan Bantuan Skim Tanaman Lada Baharu dan Lada Matang kepada beberapa wakil penerima. — DayakDaily