Tindakan pantas APMM berjaya selamat nyawa kru kapal yang diserang asma

Mangsa diberi rawatan awal oleh petugas perubatan.

KUCHING, Mei 17: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak yang menerima laporan kecemasan daripada seorang pemilik bot pancing yang memohon bantuan untuk membawa seorang kru bot yang mengalami serangan asma berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki, dalam satu kejadian awal hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Sarawak, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.20 pagi.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat diterima, seorang kru bot, Chua Soon Cho, 44, dikatakan mengalami serangan asma di kedudukan kira-kira 19 Batu Nautika dari Tanjung Po.


“Sejurus aduan diterima, sebuah Kapal Maritim KM Mengalum telah diatur gerak ke lokasi untuk melaksanakan Operasi MEDEVAC kru bot pemancing tersebut.

“Bot pemancing tersebut telah ditemui pada pukul 6.50 pagi dan mangsa telah dipindahkan ke KM Mengalum dan segera dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahref menambah, setibanya di jeti KOMTAS pada pukul 7.20 pagi, mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, jika terdapat sebarang kemalangan atau kejadian kecemasan di laut Sarawak boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh APMM. — DayakDaily