22,233 warga asing diperiksa oleh Imigresen S’wak tahun ini

Ken Leben (tengah), Datuk Mansor Man (dua dari kanan) dan kakitangan Jabatan Imigresen menunjukkan peralatan inovatif MARS Mirror yang dicipta kakitangan terbabit di Sambutan Hari Imigresen Malaysia 2017 Peringkat Negeri Sarawak.

KUCHING, Dis 5: Jabatan Imigresen Sarawak telah menjalankan sebanyak 995 operasi penguatkuasaan dan memeriksa seramai 22,233 warga asing di seluruh negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengarah Imigresen Sarawak, Ken Leben berkata demikian dengan sebanyak 995 operasi terbabit sehingga Dis 2 lepas adalah meningkat berbanding keseluruhannya sebanyak 869 operasi itu yang telah dijalankan kakitangan jabatan terbabit sepanjang 2016.

“Sehingga Dis 2, 2017, Imigresen Sarawak telah membuat sebanyak 995 operasi melalui program Hari-Hari Operasi dan Konsep Gempur Terus Gempur. Orang asing yang telah diperiksa keseluruhannya sebanyak 22,233 orang dan telah melakukan sebanyak 2,849 tangkapan,” katanya ketika Sambutan Hari Imigresen Malaysia 2017 Peringkat Negeri Sarawak yang dirasmikan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mansor Man di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, semalam.


Ken berkata pencapaian melebihi tahap cemerlang lain jabatan itu tahun ini ialah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) apabila pegawai jabatan itu berjaya menumpaskan sindiket memalsukan cop keselamatan dengan tertangkapnya 19 warga asing serta berjaya menumpaskan sindiket bolos warga asing yang mengunakan pas berlepas domestik dan pas berlepas ‘Inter-Region’.

“Manakala Depot Tahanan Semuja di Serian telah diaudit Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) pada Ogos 8, 2017 dan telah mematuhi 100 peratus peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Pegawai Imigresen yang menghadiri Sambutan Hari Imigresen Malaysia 2017 Peringkat Negeri Sarawak.

Sementara itu bagi menambahbaik perkhidmatan jabatan di negeri ini, beliau mendedahkan pejabat Imigresen di Sri Aman telah dijadikan pejabat pengeluar pasport dimana penduduk di daerah Betong, Saratok, Lubok Antu malahan dari bahagian Sarikei boleh mendapatkan pasport di pejabat terbabit tanpa perlu ke Kuching atau Sibu.

Katanya jabatan juga sedang membangunkan kompleks baharu imigresen di pintu sempadan Ba’Kelalan dan membangunkan kompleks baharu juga di Depo Tahanan Semuja serta bakal membangunkan Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (ICQS) di Tebedu supaya sekurangnya setanding dengan negara jiran dan membolehkan jabatan itu memberi perkhidmatan kelas pertama. — DayakDaily