220 projek bekalan air bagi pelan jangka pendek siap – Julaihi

Julaihi bercakap semasa sidang media di Kompleks DUN pada 29 Nov 2022.

KUCHING, 29 Nov: Sebanyak 220 buah projek di bawah Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak bagi jangka masa pendek telah siap dilaksanakan, kata Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Katanya, ia bersamaan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan 298 projek yang dibiayai menggunakan dana alternatif sebanyak RM4 bilion.

“Sementara itu, 69 buah projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, manakala 9 buah lagi projek dalam peringkat tender dan pembinaan projek tersebut akan bermula pada tahun 2023.


“Dengan siapnya projek-projek ini kelak, saya yakin bekalan air di kawasan luar bandar akan dapat ditambah baik,” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pelan induk ini menyediakan pelan hala tuju untuk jangka masa pendek sehingga tahun 2025, jangka masa sederhana sehingga tahun 2040 dan jangka masa panjang sehingga tahun 2070.

Bagi pelaksanaan Bekalan Air Jangka Masa Sederhana tambah Julaihi, kementerian memerlukan peruntukan tambahan dianggarkan sejumlah RM19.2 bilion bagi pelaksanaan beberapa projek utama dan kritikal.

Antara projek ialah Sistem Bekalan Air Baharu Landeh di Kuching, Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim Fasa 3 di Sibu, Loji Rawatan Air Baharu Beluru di Miri, Loji Rawatan Air Baharu Engkilili, Sistem Bekalan Air Wilayah Mukah.

Sistem Sumber Air Mentah Nyabau di Bintulu, Loji Rawatan Air Baharu Kanowit, Loji Rawatan Air Baharu Lawas, Loji Rawatan Air Baharu Kapit, Naik Taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok; dan Loji Rawatan Air Baharu Song.

Dalam pada itu, Julaihi memaklumkan bahawa sebanyak 5 pakej Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS) Fasa 1 dengan kos RM50 juta telah siap dilaksanakan dan memberi manfaat kepada 594 isi rumah.

“Manakala Fasa 2 ujar beliau adalah melibatkan pelaksanaan 22 pakej SAWAS yang bernilai RM135 juta dan 13 pakej daripadanya telah siap.

“SAWAS Fasa 2 ini akan memberi manfaat kepada 1,548 isi rumah,” katanya. — DayakDaily