Oleh Dean Adam
KUCHING, Feb 15: Sebanyak 220 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan sepanjang tahun lepas di Sarawak, yang melibatkan jumlah kerugian melebihi RM1.5 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Februari 2019 pula sebanyak 22 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan. Ini melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM115,547.
Menurutnya, sebanyak 39 tangkapan telah dibuat pada tahun 2018 dan pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini pada tahun ini.
“Satu kes terbaru dilaporkan melibatkan kes pinjaman tidak wujud berlaku di Bintulu pada 14 Februari (semalam). Kes itu melibatkan lelaki berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pengurus operasi yang kerugian sebanyak RM2,000,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, berdasarkan laporan diterima, pada 11 Februari lepas, mangsa telah melayari laman sosial Facebook (FB) dan telah melihat satu laman mengenai satu pinjaman wang yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.
Katanya, mangsa kemudian berminat dengan pinjaman tersebut dan telah menghantar mesej ke nombor telefon (011-25853723) dan berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr Goh.
“Mangsa kemudian memberitahu ingin memohon pinjaman sebanyak RM100,0000 dan dibayar dalam tempoh enam tahun.
“Suspek seterusnya mengatakan amaun untuk setiap bulan ialah sebanyak RM1,806. Selepas itu, suspek menyuruh mangsa membayar RM2,000 untuk proses pinjaman.
“Pada hari yang sama mangsa kemudian telah menerima satu mesej dari (011-25885897) dan meminta lagi wang sebanyak 3 bulan awal bagi bayaran ansuran bulanan sebanyak RM5,418,” katanya.
Mangsa yang hairan berkenaan tuntutan syarikat tersebut ujarnya, kemudian telah pergi ke LHDN Bintulu untuk mendapatkan kepastian sebelum dia menyedari telah ditipu. — DayakDaily