22 pelanggan, pengusaha premis dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi SOP

Satu pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak polis di sebuah kedai makan di Kuching.

KUCHING, Julai 23: Seramai 22 pelanggan warga tempatan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai makan telah dikompaun, manakala pemilik premis, seorang warganegara asing, telah ditahan oleh polis kerana gagal mengamalkan penjarakan sosial.

Ketua polis daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani dalam satu kenyataan memberitahu satu pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak polis yang mana pemeriksaan diketuai oleh ASP Ahmad Abang bersama sepasukan polis dari pasukan pemantauan standard operating procedure (SOP) PKPP Balai Polis Sentral semalam.

“Pemeriksaan tersebut telah dilakukan di sebuah kedai makan pada jam lebih kurang 9.30 malam dan semasa pemeriksaan dijalankan di premis tersebut, mendapati para pelanggan yang hadir duduk di dalam keadaan yang terlalu rapat di antara satu dengan yang lain.


“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, seramai 22 orang pelanggan warga tempatan yang terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan wanita telah dikeluarkan kompaun manakala satu orang lelaki warganegara asing iaitu pengusaha premis ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan / Peraturan 3 PPPPB (No.7) 2020 kerana didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan dan juga melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebaknya jangkitan yang berbahaya kepada nyawa,” menurut Awang Din.

Kesemua pelanggan dan juga pengusaha premis telah diarahkan ke Balai Polis Sentral untuk tindakan selanjutnya.

Awang Din turut menegaskan bahawa pihak polis yang sebelum ini mengambil pendekatan memberi amaran kepada pelanggan dan juga pengusaha premis tidak akan berbuat sedemikian lagi.

“Ini kerana orang awam semakin leka dan semakin ramai yang tidak mengikuti SOP sepertimana yang telah ditetapkan. Tindakan tegas iaitu mengenakan kompaun akan dilakukan tanpa prejudis. Pemantauan dan pemeriksaan premis-premis seumpama ini akan dijalankan secara berterusan, bagi mengelakkan penularan Covid-19 yang semakin meningkat,” ujar beliau.

Kesemua 22 orang pelanggan telah dikompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 3 PPPPB (No. 7) 2020.

Kompaun yang telah dikeluarkan tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun sebanyak RM 1,000 setiap seorang.

Pengusaha premis yang juga merupakan pemilik premis telah ditahan untuk siasatan selanjutnya.

“Polis memberi amaran keras kepada pemilik-pemilik premis perniagaan terutamanya premis tempat makan, restoran, bistro, pub dan kafe atau mana-mana premis yang dibenarkan beroperasi menyajikan makanan dan minuman di fasa PKPP supaya mematuhi SOP sepertimana yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Tindakan kompaun berterusan bagi memastikan masyarakat setempat sedar akan norma baharu dan betapa pentingnya semua pihak memainkan peranan dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit berjangkit Covid-19 ini,” tegas Awang Din.

Beliau berharap orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan senantiasa mengikuti saranan kerajaan dalam tempoh PKP supaya mematuhi SOP penjarakan sosial bagi membendung penularan Covid-19. — DayakDaily