2,130 kes remaja hamil di Sarawak direkodkan tahun lalu

Fatimah (dua kiri) bercakap dengan para petugas dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

SARIKEI, Sept 27: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) merekodkan sebanyak 2,130 kes membabitkan remaja hamil di negeri itu pada tahun lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah kes yang rekod itu menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus kes berbanding direkodkan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, kementeriannya bimbang apabila kes melibatkan golongan remaja hamil luar nikah menunjukkan peningkatan.


“Sebanyak 54.6 peratus remaja hamil tidak berkahwin direkodkan berlaku pada 2017 berbanding 54.1 peratus pada tahun sebelumnya.

“Jumlah peningkatan kes ini amat mengejutkan sehinggakan kehamilan dalam kalang­an remaja yang tidak berkahwin menjadi isu sosial membimbangkan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jerayawara Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) dan Kempen Kesedaran Undang-Undang Sosial di sini hari ini.

OSTPC adalah satu inisiatif untuk menyelaras pengurusan dan penyelesaian kes remaja hamil secara sehenti oleh rakan-rakan strategik kementerian di Sarawak.

Dalam pada itu, Fatimah menambah, kementeriannya amat memandang serius gejala kehamilan dalam kalangan remaja tidak berkahwin.

Ini kerana ujarnya, tidak mendaftarkan kelahiran boleh menimbulkan masalah seperti penjagaan, kebajikan dan pendidikan bagi anak dilahirkan.

“Perkara ini serius kerana kes remaja hamil tidak berkahwin boleh mendorong golongan itu bertindak di luar batas kemanusiaan.

“Misalnya, mereka sanggup menggugurkan kandungan atau membuang anak bagi menutup perbuatan yang mengaibkan tersebut,” katanya. — DayakDaily