200 guru sekolah menengah sudah menjalani kursus asas guru kadet bomba

Johari Dzukifli (dua dari kiri) menyampaikan sijil Kursus Asas Guru Kadet Bomba Negeri Sarawak Siri 1/ 2018, kepada guru dari bandaraya ini sambil disaksikan Mohd Zulhilmi Ibrahim (dua dari kanan).

KUCHING, Feb 3: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak setakat ini sudah memberikan Kursus Asas Guru Kadet Bomba kepada 200 guru sekolah menengah di bandaraya ini dengan kursus itu membolehkan mereka menjadi guru kepada pasukan kadet bomba di sekolah masing-masing.

Pegawai Bahagian Latihan, Ibupejabat JBPM Negeri Sarawak, Mohd Zulhilmi Ibrahim berkata guru terbabit dari sebanyak 10 sekolah menengah sekitar Kuching yang mempunyai pelajar menyertai pasukan kadet bomba sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah.

“Langkah mewujudkan guru bagi pasukan kadet bomba ini adalah bagi kami meningkatkan kembali preastasi pasukan kadet bomba di sekolah menengah seluruh negeri ini khususnya di zon Kuching dan kemudian langkah ini akan kami perluaskan juga ke sekolah menengah di zon kawasan tengah dan zon kawasan utara negeri ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Guru Kadet Bomba Negeri Sarawak Siri 1/ 2018, di Balai Bomba dan Penyelamat Padungan, di sini, hari ini.

Johari Dzukifli (duduk dua dari kiri) dan Mohd Zulhilmi Ibrahim (duduk kiri) bersama guru dari bandaraya ini yang menamatkan Kursus Asas Guru Kadet Bomba Negeri Sarawak Siri 1/ 2018.

Ketua Penguasa Bomba Zon Kuching, Johari Dzukifli telah merasmikan majlis berkenaan dan menyampaikan sijil kursus kepada 23 guru dari sekitar Kuching termasuk dari Sekolah Menengah Kuching High selaku penganjur bersama kursus selama tiga hari terbabit.

Zulhilmi berkata dalam kursus tersebut, guru sekolah menengah berkenaan telah didedahkan kepada modul latihan yang boleh diajar mereka kepada pelajar yang menyertai pasukan kadet bomba terutamanya sekiranya jurulatih pasukan bomba tidak dapat ke sekolah terbabit bagi memberikan latihan itu kepada pelajar.

“Ini terutamanya ketika pasukan bomba di bandaraya ini terbabit dengan operasi besaran seperti menangani bencana banjir dan sedang menghadapi kekurangan anggota bertugas. Ketika itulah kalangan guru kadet bomba terbabit akan mengambil alih tugas memberikan latihan kepada pasukan kadet bomba di sekolah mereka,” katanya.

Beliau berkata guru terbabit turut diberikan latihan tentang cara memadamkan kebakaran di dapur yang betul mengunakan tuala basah dan juga pengunaan alat penafasan ketika memadam kebakaran serta sedikit mengenai kawad operasi.

Menurutnya, ini penting kerana ketika ini terdapat seramai 2,000 pelajar sekolah di seluruh negeri ini menjadi kadet bomba dan pihaknya mahu meningkatkan jumlah pelajar terbabit yang dapat menjadi agen kepada pasukan bomba di sekolah bagi mencegah kebakaran. — DayakDaily