Ramai wanita luar bandar takut menjalani ujian saringan pap smear, mamogram

Rubiah Wang (tengah) bertemu penduduk Kota Samarahan yang menyertai Program Hari Keluarga Sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia ( BKK1M) 2018 Peringkat Bahagian Samarahan dan Program 'Well Being Of Women' sebelum merasmikan program tersebut.

KOTA SAMARAHAN, Feb 3: Ramai wanita di luar bandar di Sarawak didapati masih takut menjalani ujian saringan pap smear dan ujian saringan mamogram bagi mengesan penyakit barah payudara ketika diperingkat awal dan masih boleh dirawat.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata beliau tidak mengetahui punca ramai wanita masih takut menjalani ujian berkenaan walaupun ada diberikan secara percuma ketika mereka menghadiri program kerajaan berkaitan wanita di negeri ini.

“Saya tidak pasti apa sebabnya, tetapi yang jelas ramai wanita (luar bandar) takut menjalani ujian terbabit. Malahan pada program hari ini, hanya seramai 25 orang wanita yang tampil menjalani ujian tersebut sahaja berbanding seramai 150 wanita yang disasarkan kami,” katanya ketika merasmikan Program Hari Keluarga Sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia (BKK1M) 2018 Peringkat Bahagian Samarahan dan Program ‘Well Being Of Women’ anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) P197 Kota Samarahan, Pusat Khidmat Masyarakat P.197 Kota Samarahan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kota Samarahan, di Dewan Muara Tuang, di sini, hari ini.

Rubiah Wang (duduk tengah) bersama peserta acara Program Hari Keluarga Sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia ( BKK1M) 2018 Peringkat Bahagian Samarahan dan Program ‘Well Being Of Women’.

Rubiah berkata ini berkemungkinan kerana salah faham ramai wanita di luar bandar yang mereka tidak menghadapi sebarang risiko menghidap penyakit kanser payudara kerana sentiasa mengamalkan gaya hidup cergas dan sekiranya dikesan menghidapi penyakit itu, mereka akan tidak berpeluang sembuh.

“Sebenarnya kanser payudara dapat dikawal dan dirawat sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal. Sebab itulah kerajaan menjalankan program mengalakkan wanita menjalani ujian pap smear dan ujian mamogram disamping menubuhkan Klinik Nur Sejahtera dibawah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memberikan ujian tersebut secara percuma,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta wanita di kawasan Parlimen Kota Samarahan tidak takut menjalani ujian saringan pap smear dan ujian saringan mamogram dan meminta mereka datang ke Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kuching bagi mendapatkannya atau menghubungi ranting wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan masing-masing atau Pejabat Residen Bahagian Samarahan bagi mengaturkan program pemeriksaan terbabit di tempat mereka.

Kanser payudara adalah penyebab utama kematian wanita di Malaysia. Wanita yang berusia 40 tahun keatas digalakkan menjalani ujian pap smear dan ujian mamogram disamping melakukan ujian memeriksa payudara sendiri dan juga pemeriksaan di klinik. ā€” DayakDaily