200 batang kayu bakau dirampas di Sungai Belawai

Kayu bakau yang dirampas dalam operasi tersebut.

SARIKEI, 23 Mac: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarikei berjaya merampas kira-kira 200 batang kayu bakau pelbagai saiz dipercayai ditebang secara tidak sah dan tidak mempunyai cop Jabatan Hutan (JH).

Komander PPMW5 Sarawak, ACP Zulfikar Mohd Ghazali, berkata kesemua kayu bakau yang dianggarkan bernilai RM82,250 ditemui di Ulu Sungai Belawai, semalam.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, didapati tiada pekerja di lokasi berkenaan.


Beliau percaya kesemua kayu bakau tersebut belum sempat dipunggah keluar dari kawasan terbabit.

Siasatan awal mengesyaki suspek telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

Kes telah dirujuk dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Sarikei sebagai tindakan lanjut. — DayakDaily