2 warga Indonesia antara 3 ditahan kerana ceroboh kubur di Niah

Ketiga-tiga suspek (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut kerana menceroboh kubur.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Dis: Tiga lelaki, termasuk dua warga Indonesia ditahan polis pada Jumaat kerana dipercayai terlibat dalam kes kubur dan mencuri barangan berharga dalam kubur di Niah.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis dibuat berhubung 16 kubur di kawasan perkuburan rumah panjang Tr Changgai, Niah telah digali dan dirosakan pada pagi Jumaat (3 Dis).
Sebanyak 16 kubur di tapak perkuburan kawasan Tuai Rumah Changgai, Niah dilaporkan telah diceroboh pada Jumaat.
Kesemua suspek berusia 20, 21 dan 40 itu ditahan polis dalam operasi sekitar jam 7.30 malam sehingga 8.15 malam di Niah dan Simpang Ngu.
Tangkapan dilakukan kurang 24 jam selepas laporan diterima.
Siasatan awal mendapati, suspek warganegara Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. — DayakDaily