Oleh Brad Rantayy
MIRI, 3 Jan: Dua lelaki ditahan pihak polis tengah malam tadi, selepas disyaki terbabit kes curi sebuah motorsikal jenis Yamaha bernilai RM11,000.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan kurang 24 jam selepas pihaknya menerima laporan mangsa berusia 26 tahun mengenai motorsikal yang diparkirnya berhadapan sebuah pasar raya di Tudan hilang.
Katanya, motorsikal tersebut disedari hilang sekitar jam 1 pagi Rabu.
“Bertindak atas maklunat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)IPD Miri telah berjaya mengesan suspek pertama berusia 36 tahun, di sebuah gerai rumah asap di Desa Indah sekitar jam 12.10 pagi Rabu,” jelas Hakemal.
Manakala suspek kedua, berusia 40 tahun berjaya dikesan juga di sebuah gerai rumah asap di Desa Indah, kurang 30 minit selepas penahanan suspek pertama.
Turut dirampas dua buah motorsikal, yang mana salah satu daripadanya digunakan dalam kegiatan mencuri sekitar Tudan.
Kedua-dua suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. — DayakDaily