2 lelaki dicekup, disyaki merompak dan melarikan beg mangsa wanita

Suspek berusia 25 tahun menunjukan lokasi dia mencampakkan beg sandang mangsa ke dalam kawasan parit tepi Jalan Pujut Padang Kerbau kepada anggota JSJ Miri.

MIRI, 2 April: Dua lelaki bermotosikal ditahan polis kurang tujuh jam selepas disyaki merompak seorang wanita dan melarikan sebuah beg miliknya awal pagi semalam (1 April).

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8.25 pagi di sebuah kedai makan di Marina Square di sini.

Semasa kejadian, mangsa berusia 28 tahun itu bersama dua lagi rakan sekerjanya sedang menikmati sarapan pagi, apabila salah seorang suspek menghampiri meja makan mereka dan melarikan beg sandang mangsa yang diletakkan di sebuah kerusi sebelah kanannya.


Kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).

Suspek kedua ditahan di hadapan sebuah premis di Jalan Merpati, Miri.

Tangkapan pertama dibuat pada jam 6 petang di sebuah rumah di Jalan Pujut, Kampung Bumi Hijau manakala suspek kedua dicekup 30 minit kemudian di hadapan sebuah premis kedai di Jalan Merpati.

Semasa tangkapan, JSJ Miri turut menemukan beg sandang dan barangan milik mangsa serta sebuah motorsikal jenis Honda berwarna biru dipercayai telah digunakan semasa kejadian.

Difahamkan, beg sandang mangsa telah dibuang ke dalam longkang tepi jalan Pujut Padang Kerbau.

Penemuan itu dilakukan sebaik sahaja salah seorang suspek yang  berusia 25 tahun itu mengaku telah mencampakkan beg sandang tersebut semasa disoal siasat pihak JSJ.

Salah seorang suspek mempunyai sekurang-kurangnya tiga rekod jenayah lampau.

Beberapa dokumen penting mangsa termasuk telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM100 dilaporkan hilang dalam kejadian dan anggaran keseluruhan kerugian RM500.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. — DayakDaily