PRN12: Muhyiddin serah pada Abang Jo untuk putuskan kedudukan calon Bersatu

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUCHING, 2 April: Keputusan untuk meletakkan calon dari Bersatu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 bergantung kepada budi bicara pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta kepimpinan tertinggi GPS, kata pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Perdana Menteri berkata perkara tersebut tidak perlu diperjelaskan dengan lebih lanjut namum memberitahu satu perbincangan mengenainya akan dilakukan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Katanya, sokongan penuh akan diberikan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kemenangan besar parti tersebut pada PRN-12 sekaligus boleh membentuk kerajaan negeri yang kuat serta manpan.

“Apapun keputusan kita nak buat, kita ini rakan seperjuangan dalam parti dan berjuang atas fahaman yang sama. Jadi yang mustahak ialah dapatkan sokongan padu daripada pengundi bagi menyokong supaya kerajaan negeri dapat kita bentuk semula, seboleh mungkin dan lebih banyak kerusi dapat dimenangi,” kata beliau pada satu sidang media selepas melawat projek naik taraf Hospital Umum Sarawak di sini hari ini.

Jelas Muhyiddin, apa pun situasi, pimpinan Perikatan Nasional (PN) sama ada dari Parti Islam Se-Malaysia (Pas) atau pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sarawak dan peringkat nasional akan memberikan sokongan penuh kepada GPS.

Katanya, fokus utama adalah untuk memastikan tiada pepecahan dalam gabungan tersebut selain memastikan kerjasama erat keduanya sentiasa terjalin.

“Ada kerusi atau tidak ada kerusi itu soal kedua, yang penting kita hendak tentukan kemenangan besar kepimpinan GPS yang ada di Sarawak ini,” katanya.

Ketika ini Bersatu mempunyai satu kerusi Dewan Undang Negeri iaitu DUN Krian yang disandang oleh Datuk Ali Biju.

Selain DUN Krian, Bersatu juga mempunyai dua kerusi Parlimen di Sarawaki iaitu Kawasan Parlimen Saratok (Datuk Ali Biju) dan Kawasan Parlimen Puncak Borneo (Datuk Willie Mongin). — DayakDaily