17 ditahan gaduh depan hotel

Salahuddin pada sidang media di IPK Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Jan: Polis Sarawak telah menahan 17 individu remaja yang terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Abang Haji Openg semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, kes dipercayai berpunca daripada salah faham melibatkan teman wanita.

“Pergaduhan ini bukan melibatkan sindiket atau kumpulan-kumpulan, ia lebih kepada salah faham melibatkan teman wanita.

“Pergaduhan itu hanya menggunakan topi keledar dan kecederaan tidak serius.


“Kita telah menangkap 17 orang yang terlibat dan kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Dewan Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, enam remaja tempatan berusia antara 17 hingga 19 tahun diberkas selepas terlibat pergaduhan itu.

Katanya, kejadian sekitar jam 11.50 pagi itu telah dilaporkan oleh pihak keselamatan hotel tersebut kepada polis.

Sepasukan polis yang menerima maklumat telah sampai ke tempat kejadian dan berjaya menahan empat orang lelaki.

Menurut Awang lagi, polis juga bertindak menahan dua orang lelaki lain setelah menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS). — DayakDaily