16 negara rebut slot ITF World Junior Team Competition Asia/Oceania Final U-14 Boys

Gerald (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama pasukan lelaki Korea di majlis perasmian kejohanan di Komplek SLTA.

KUCHING, 25 Mac: Enam belas negara berentap bagi merebut empat slot di ‘2024 ITF World Junior Team Competition Asia/Oceania Final U-14 Boys’ yang bakal berlangsung di Republik Czech pada Ogos depan.

Berlangsung di Komplek Persatuan Lawn Tennis Sarawak (SLTA) di Jalan Crookshank, pusingan kelayakan bermula hari ini dan berakhir 30 Mac ini.

Majlis perasmian kejohanan pagi tadi telah dirasmikan Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu.


“Kejohanan yang berlangsung di Kuching ini adalah platform bagi pemain-pemain muda tenis mendapatkan ranking.

“Justeru, pamerkan persembahan terbaik anda,” kata Gerald.

Sementara itu, Presiden SLTA Dato Patrick Liew memaklumkan bahawa kejohanan tenis peringkat junior yang diadakan di Kuching telah melahirkan ramai pemain profesional dunia.

Antaranya jelas Patrick ialah bekas pemain nombor satu dunia wanita Asleigh Barty dan Nick Kyrgios.

“SLTA telah menganjurkan kejohanan junior kategori J1 sejak tahun 2,000.

“Saya percaya dari jumlah 100 pemain di ranking tertinggi dunia, 20 peratus mereka pernah bermain di Kuching,” kata Patrick.

Enam belas negara bertanding ialah Australia, China, Hong Kong, Indonesia, Taiwan, Iran, Jepun, Kazakhstan, Korea, New Zealand.

Turut bertanding Pakistan, Singapura, Thailand, India, Sri Lanka dan Uzbekistan.

Hadir sama Presiden Persatuan Tenis Cambodia merangkap Naib Presiden Persekutuan Tenis Asia (ATF) Tep Rithivit. — DayakDaily