SERIAN, 11 Nov: D’Fitness Generation Studio, Serian telah mengadakan pertandingan tarian tradisional untuk mendedah, meningkat dan memperluaskan ilmu mengenai tarian tradisional kepada masyarakat setempat.
Majlis tersebut telah diadakan pada hari Sabtu lepas dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Semuja John Ilus.
Majlis ini diadakan untuk menonjolkan bakat kaum-kaum ibu dalam kesenian kebudayaan tradisional di samping untuk mempergiatkan mereka lebih aktif dalam bidang tarian tradisional.
Selain itu, ianya juga bertujuan untuk mewujudkan semangat kesenian budaya, berpasukan dan persaingan secara sihat di antara para peserta.
Antara kategori pertandingan tradisional ialah tarian Bidayuh, tarian Iban dan tarian Orang Ulu.
Seramai 15 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dan mereka terdiri daripada wanita-wanita dari pelbagai bangsa.
Johan bagi kategori tarian Bidayuh telah dimenangi oleh Ibi Jinyan, manakala naib johan jatuh kepada Monica Jajah dan tempat ketiga dimenangi oleh Geraldine Sheenaritta Selan.
Bagi kategori Iban pula, tepat pertama disandang oleh Sabrina Edsa Manjang, tempat kedua dimenangi oleh. Geraldine Sheenaritta Selan dan tempat ketiga kepunyaan Meryina Thomas.
Untuk kategori tarian Orang Ulu pula, johan dimenangi oleh Shirley Joslee Jock, tempat kedua dimenangi oleh Meryina Thomas dan Imelda Gular mendapat tempat ketiga.
John berharap program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya tarian tradisional masyarakat tidak akan pupus tetapi di sebaliknya akan terus dimartabatkan.
“Begitu juga harapan kepada masyarakat supaya akan terus mempelajari dan mempertingkatkan ilmu dalam bidang tarian tradisional supaya menjadi warisan turun temurun,” kata John.
Majis tersebut telah diadakan di Dewan Masyarakat Serian dan merupakan majlis yang julung kalinya diadakan. — DayakDaily