11 warga asing dikurung dan dipaksa bekerja tanpa gaji sejak 3 tahun lepas diselamatkan

Anggota polis terpaksa memotong mangga rumah berkenaan untuk mengeluarkan kesemua warga asing yang dikurung.

BINTULU: Sepasang suami isteri ditangkap kerana didakwa telah mengurung 11 individu termasuk 2 lelaki warga asing di sebuah rumah di Taman Heng Jalan Sebiew, di sini sejak tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata kedua-dua suspek berusia 53 dan 59 tahun juga dipercayai pemilik rumah berkenaan.

Menurutnya, suami isteri terbabit ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antu Penyeludupan Migran (ATIPSOM).


Anggota polis menyerbu rumah terbabit selepas mendapatkan maklumat berhubung kejadian.

“Pasukan polis telah menemui 9 perempuan serta 2 lelaki warganegara Indonesia yang terkurung dalam bilik yang kecil itu dan apabila mereka melihat pasukan polis, mereka telah menangis dan merayu untuk diselamatkan.

“Kesemua perempuan yang diselamatkan berumur antara 18 hingga 40 tahun dan 2 lelaki berumur 23 dan 44 tahun.

“Pemilik rumah, sepasang suami isteri yang turut berada dalam rumah tersebut telah ditangkap kerana disyaki memperdagangkan orang secara buruh paksa,” kata Dev.

Tambahnya juga, siasatan awal mendapati 11 mangsa telah dipaksa oleh saspek untuk membersih sarang burung.

“Mereka telah dikurung hampir 3 tahun dan tidak dibenarkan keluar.

“Mereka juga tidak dibayar gaji dan kadang-kala dipukul oleh kedua-kedua saspek jika kerja tidak memuaskan,” kata Dev

Kedua-dua saspek akan direman di Mahkamah Bintulu pagi ini manakala mangsa-mangsa akan dihantar ke rumah perlindungan.