YDP Agong: Jangan heret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu

Parliament of Malaysia crest. - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 18: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat agar tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.

Pada Titah Diraja bersempena Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini, Baginda bertitah rakyat jelata pada ketika ini masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik Covid-19.


“Beta ingin berpesan, sebagai seorang pemimpin Ahli-Ahli Yang Berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat.

“Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci-mencaci. Sebaliknya, perbezaan pendapat seharusnya menjadi landasan kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatupadukan negara.

“Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik,” titah Baginda.

Justeru, Baginda menitahkan agar semua pihak bersama kerajaan dalam membangunkan negara.

Titah Baginda lagi, Ahli-Ahli Yang Berhormat seharusnya menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan dan membudayakan politik yang bersih.

Baginda turut memberi peringatan supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian bermula di dalam dewan yang mulia ini.

“Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu-padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

“Justeru, berbahaslah dengan penuh tanggungjawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata,” titah Baginda lagi.

Persidangan hari ini menarik perhatian apabila ia pertama kali menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Daripada dijadual selama sehari, ia kemudian dipendekkan untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong.

Sidang pertama ini sepatutnya diadakan antara Mac 9 hingga April 16 lalu tetapi ditangguhkan kerana negara berdepan wabak Covid-19. — DayakDaily