Yayasan Sarawak disaran tingkatkan bantuan kewangan kepada penerbit buku tempatan

Mersal (kiri) bersama Wan Junaidi (tengah) pada kunjungan hormat ke Astana Negeri. Turut kelihatan Watson (kanan). Foto: Ukas
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 24 Julai: Yayasan Sarawak disaran untuk mengkaji semula bantuan kewangan yang diberikan kepada penerbit buku tempatan, kata Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia sebagai usaha merancakkan lagi industri penerbitan buku di wilayah ini.

Advertisement

Katanya, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menggariskan keperluan untuk menyediakan sokongan kewangan yang lebih besar supaya lebih banyak buku yang berkualiti dapat diterbitkan.

“Setakat ini kita memang ada program bantuan yang disediakan, cuma ia terhad kepada lebih kurang RM20,000 untuk setiap penerbitan.

“Bagaimanapun, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menasihati pihak kita untuk membawa perkara ini kepada Lembaga Amanah Yayasan dan meneliti semula jumlah bantuan yang perlu diberi kepada penerbit-penerbit buku di Sarawak.

“Ini memandangkan kos penerbitan pada masa ini meningkat dengan ketara dan jumlah RM20,000 itu mungkin belum mencukupi,” katanya kepada media setelah menerima jemputan daripada Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Mersal, beliau akan membawa usul berkenaan kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Amanah Yayasan Sarawak.

Ia bagi menilai semula kuota yang lebih munasabah diberikan selaras dengan keperluan semasa industri penerbitan buku di Sarawak.

Turut serta bersama beliau ialah Pemangku Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak (Pendidikan), Watson Chunggat Leonard Doo. — DayakDaily

Advertisement