Yang di-Pertuan Agong jalani rawatan di Institut Jantung Negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 23 Jan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari, bermula semalam (22 Jan).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan ini berhubung dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang telah dijalani oleh Seri Paduka Baginda di IJN pada bulan September 2020.

Pada 24 September 2020, Seri Paduka Baginda telah menjalani rawatan intervensi tersebut setelah pengimejan MRI menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Baginda ketika bersukan.


Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh tersebut ekoran daripada pelaksanaan prosedur operasi ‘standard’ Covid-19 di hospital-hospital awam termasuk IJN.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN.

“Kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan. Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya. — DayakDaily