Fatimah sokong hasrat PRS letak calon wanita pada PRU15

Kelihatan Fatimah ketika ditemui pemberita di Kuching hari ini (23 Jan 2022).

KUCHING, 23 Jan: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah mengalu-alukan hasrat Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk menyenaraikan wanita di dalam proses pemilihan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15 ) nanti.

Fatimah yang juga Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, ini menunjukkan PRS mahu kesaksamaan gender dengan meletakkan lebih ramai calon wanita.

ā€œDengan ini kita berharap parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain mempunyai pendekatan yang sama.


ā€œIni adalah supaya lebih ramai calon wanita berpeluang memberi perkhidmatan kepada rakyat menerusi penglibatan dalam politik,ā€ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penutupan Bengkel Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, ia merupakan satu pendekatan yang ditunggu-tunggu dan harus disokong.

ā€œKalau semua komponen parti dalam GPS mengambil langkah yang sama, jumlah wakil rakyat daripada golongan wanita akan bertambah dan lebih baik daripada jumlah yang ada sekarang,ā€ katanya.

Ujar Fatimah lagi, manifesto GPS ialah untuk melihat masyarakat yang inklusif iaitu kebersamaan dari semua aspek dengan tidak mengira status, bangsa, agama dan gender.

Semalam Pemangku Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum ketika ditemui selesai Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PRS berkata, parti itu akan meletakkan calon wanita di dalam proses pemilihan calon bagi PRU15 yang mesti diadakan sebelum berakhir 2023. ā€” DayakDaily