Yahya Ali – abang hero saya

Pegawai Bomba Karim Mohamad sedang membuat dan memeriksa peralatan keselamatan yang digunakan oleh Arif.

Oleh Muhd Mirza Dzalmira Miraj (Pegawai Perhubungan Awam Bomba Negeri Sarawak)

KUCHING, 27 Ok: Arif Aiman Ali, 12, tidak menyangka kehadiran beliau bersama ibu bapa dan keluarga ke Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya di sini berjaya merealisasikan impian beliau untuk melakukan aktiviti ‘abseiling’ bersama anggota bomba.

Ketika ditemui oleh Pegawai Perhubungan Awam Bomba Negeri Sarawak semasa program amal hari ini, Arif berkata arwah abang nya (Yahya Ali) seringkali menceritakan kaedah penyelamatan tersebut yang mana memerlukan kecekapan dalam menggunakan tali selain membuang perasaan takut akan ketinggian.

Sejak itu, beliau menanam impian dan cita-cita untuk melakukan aktiviti tersebut bersama anggota bomba.

Selain menceritakan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat ulung negara itu, beliau juga sering dinasihatkan agar berjaya dalam pelajaran sekiranya ingin menjadi pegawai bomba pada suatu hari nanti.

Anak bongsu dari lima adik beradik ini, begitu akrab dengan arwah dan sering menjalankan pelbagai aktiviti ketika arwah pulang ke kampung bercuti.

Selain Arif, arwah turut mempunyai tiga orang adik perempuan, Zainab, 18, Julia, 17, dan Atikah, 15.

“Terima kasih banyak-banyak kepada abang dan kakak bomba kerana banyak membantu kami sekeluarga semenjak kehilangan abang pada awal bulan ini, dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” Arif berkata ketika program hari ini.

Mereka sekeluarga dijadualkan pulang ke kampung halaman di Kampung Tian Matu, awal pagi esok.

Yahya, 24, adalah salah seorang daripada enam anggota Bomba yang terkorban dalam operasi menyelamat seorang remaja yang telah dilaporkan tegelincir ke dalam lombong terbiar di Puchong, Selangor, ketika memancing bersama rakan-rakan pada Okt 3 lalu.

Balai Bomba Petra Jaya telah menjalankan larian amal hari ini, di mana sebanyak RM17,710 berjaya dikutip untuk diberikan kepada keluarga arwah. — DayakDaily