Lelaki warga emas maut, Toyota Hilux dipandu terlibat kemalangan

Pasukan bomba berusaha mengeluarka mangsa dari kenderaan.

Oleh Dean Adam

TANJUNG MANIS, 27 Okt: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik di Jalan Tanjung Manis-Sibu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.02 pagi itu, mangsa, Edet Jok, 59, dari kampung Jerijeh Baru Belawai, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar Sibu.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di dalam anak sungai di bahu jalan berkenaan.

Petugas perubatan sedang memeriksa mangsa.

“Kesan kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduknya dan mengalami kecederaan parah.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kemudian melakukan pemeriksaan ke atas mangsa sebelum lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu kata jurucakap sama, pihak bomba turut berada di lokasi kejadian untuk melakukan operasi mengeluarkan mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya sebelum diserahkan kepada warisnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily