Wujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian Daro, kata Safiee

Safiee Ahmad (file pic)

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 8: Kerajaan negeri dimohon supaya mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di kawasan Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pusat pengumpulan itu penting kerana kawasan itu bukan sahaja sesuai untuk sektor pertanian tetapi kedudukannya yang strategik di kawasan pesisir yang meliputi Matu, Igan, Pulau Bruit dan Paloh.


Katanya, Daro juga terletak di tengah-tengah kawasan koridor pembangunan SCORE sekali gus menjadi nukleus yang membangun dan menggerakkan ekonomi pesisir pantai Sarawak lebih-lebih lagi dengan siapnya pembinaan projek Jambatan Muara Lassa dan Batang Paloh kelak.

“Jadi, selaras dengan program perindustrian negeri yang meneruskan pelaksanaan pelbagai estate perindustrian, maka saya ingin mencadangkan supaya sebuah estet perindustrian kecil atau anjung usahawan juga dibina di Daro.

“Daerah Daro juga berpotensi untuk dibina kilang-kilang bagi perindustrian kecil dan juga anjung usahawan bagi disewa atau dijual kepada para usahawan bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi termasuk dalam sektor industri kotej,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Rang Undang-Undang Pembekalan (2019), 2018 dalam Persidangan Dewan Undangan (DUN) ke-18 di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, beberapa kemudahan seperti sebuah RC Wharf yang bernilai hampir RM5 juta telah pun siap dibina pada tahun ini.

Katanya, ia sudah pasti akan memberi kemudahan bagi segala urusan pengangkutan dan penghantaran barang-barang melalui jalan sungai dan laut.

“Begitu juga dengan siapnya projek Jambatan Muara Lassa dan Batang Paloh nanti maka akan menjadikan perhubungan ke bandar yang terdekat termasuk ke Pelabuhan Tanjung Manis akan menjadi lebih mudah.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada kementerian yang berkenaan supaya memberi pertimbangan yang serius ke atas permohonan ini,” katanya. — DayakDaily