KUCHING, 4 Nov: Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin menangguhkan semua program yang membabitkan perhimpunan ramai di pejabatnya di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komuniti dan di kawasan Parlimen Puncak Borneo pada November ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti menjelaskan ini selepas merujuk kepada pemasyuran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh hari ini.
“Maka dengan ini adalah diputuskan semua program berkaitan Pejabat YB dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komuniti serta kawasan Parlimen Puncak Borneo yang melibatkan perhimpunan ramai seperti majlis jamuan atau mesyuarat berkelompok bagi bulan November 2020 ditangguhkan,” katanya dalam satu notis pemberitahuan yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini.
Kesemua program terbabit akan ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian dan Willie menyeru penduduk kawasan Parlimen Puncak Borneo untuk juga menangguhkan program sedemikian pada bulan ini.
“Saya juga menyeru supaya semua masyarakat, ketua-ketua kaum dan pemimpin masyarakat di kawasan Parlimen Puncak Borneo supaya tanguhkan dahulu semua program sehingga penularan Covid ini reda,” tambahnya.
Selain itu, Willie juga mengingatkan semua warga pejabatnya serta pelawat yang mengunjungi pejabat pusat khidmatnya supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi ‘standard’ (SOP) pengawalan jangkitan Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). — DayakDaily