Covid-19: 8 kematian dengan 1,032 kes positif baharu

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,032 kes baharu positif Covid-19
dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,029 kes tempatan dan tiga kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 35,425 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 10,339 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 271 kes.

“Dukacita dimaklumkan lapan kes kematian dilaporkan melibatkan dua bukan warganegara dan baki enam warganegara.

“Daripada jumlah ini, satu kes dilaporkan di Perak manakala tujuh lagi dilaporkan di Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi kes positif harian dengan 646 kes selain Selangor (231), Labuan (28), Kedah (25), Sarawak (9), Negeri Sembilan (44), Pulau Pinang (23), Kuala Lumpur (9), Terengganu (3), Perak (6), Putrajaya (4), Kelantan (2) dan Johor (2).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 820 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 24,815 kes atau 70.10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 82 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)dan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat 6 kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Penjara Sandakan, Kluster Dialisis (Sandakan dan Lahad Datu), Kluster Sepanggar (Kota kinabalu), Kluster Aero (Selangor), Kluster Lengkuk (Selangor) dan Kluster Gading di Putrajaya. — DayakDaily