Willie sebak melihat keadaan mangsa banjir di Bau, ketika menjelangnya Hari Gawai

Willie melawat mangsa-mangsa banjir kilat di Bau dan turut menyampaikan bantuan.

KUCHING, Jun 1: Banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah Bau selang sehari sebelum penduduk di kawasan itu menyambut Hari Gawai semalam, mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin.

Sebaik sahaja menerima berita mengenai musibah yang melanda penduduk di dalam konstituensinya itu, Willie bergegas melawat mereka dengan membawa bantuan makanan.

Malah, beliau turut meluangkan masa bergotong-royong membersihkan kawasan kampung dan rumah-rumah penduduk yang terjejas.

“Sebak hati saya melihat keadaan mereka, apatah lagi ketika semua penduduk ini sudah membuat persiapan untuk menyambut Hari Gawai,” katanya.

Willie melawat mangsa-mangsa banjir kilat di Bau dan turut menyampaikan bantuan.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Bau (MDB) yang turut turun membantu penduduk-penduduk yang terjejas.

“Terima kasih kepada penduduk dan semua pihak yang terlibat, semoga tuhan memberkati semua,” katanya.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Tringgus Bong, Kampung Rabak Rotan dan Kampung Tringgus Muan, disebabkan oleh hujan lebat tanpa henti sejak malam kelmarin.

Malah, ratusan penduduk turut dipindahkan ke pusat pemindahan sebelum pulang ke rumah masing-masing sebaik sahaja air surut. ā€” DayakDaily