Lelaki maut, motosikal bertembung dengan Toyota Hilux

Keadaan motosikal mangsa yang remuk teruk selepas melanggar Toyota Hilux.

BAU, Jun 1: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di KM11.5, Jalan Bau-Serikin di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu mengakibatkan mangsa, Wingate Miscow, 48, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan kakinya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.20 malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Bau.


Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Bau dari arah Kampung Serasot.

“Namun semasa melalui selekoh tajam di jalan berkenaan, motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan Toyota Hilux.

“Kesan perlanggaran itu telah mengakibatkan mangsa tercampak jatuh dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, wanita yang berusia 44 tahun yang memandu Toyota Hilux itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily