KUCHING, Mei 8: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kawasan Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin tidak gentar dengan ugutan Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah Wee Inn yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana sering mengaitkan calon Barisan Nasional (BN), Genot@Jeannoth Sinel dengan isu pengambilan tanah penduduk di beberapa kampung.
“Saya berani kerana saya cukup fakta untuk berdepan di mahkamah. Saya sanggup berjuang demi rakyat Puncak Borneo,” katanya.
Menurut Willie, sebagai seorang peguam yang berpengalaman, Roland sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadap surat penyandang Parlimen Puncak Borneo, Dato Sri James Dawos Mamit.
Jelas beliau, ia kerana surat yang dikemukakan Dawos kepada pengarah Jabatan Tanah dan Survei telah secara terang-terangan menyebut nama Jeannot terlibat dengan skandal tanah tersebut.
“Maka jelas di sini, itu bukan saya yang sebut tetapi Dawos dan kenapa Jeannoth tidak sedikit pun menangkis tuduhan dalam surat Dawos itu.
“Kenapa beliau tidak tampil membuat penjelasan tetapi diperjelaskan oleh orang lain.
“Kalau perkara itu tidak begitu serius, kenapa perlu Dawos menulis sendiri surat tersebut kepada Jabatan Tanah dan Survei,” katanya. — DayakDaily