Rubiah berjanji membantu penduduk kampung menceburi projek ladang rakyat

Rubiah (tiga dari kanan) melihat Rundi (kiri) merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dengan menyalakan lampu pada poster Barisan Nasional di Parlimen Kota Samarahan di Dewan Serbaguna Kampung Baru di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Mei 8: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berazam membantu penduduk kampung kawasan terbabit menceburi projek ladang rakyat sekiranya menang di kawasan Parlimen terbabit pada pilihanraya umum ini.

Ini kerana beliau mendapati semakin ramai penduduk kampung sekitar Kota Samarahan yang berminat menceburi projek terbabit yang dianjurkan agensi kerajaan bagi meningkatkan pendapatan mereka termasuk penanaman kelapa sawit.

“Bukan sahaja penduduk di Kampung Baru, tetapi penduduk Kampung Tanjong Bundong, Kampung Tambey, Kampung Mang dan banyak lagi kampung lain berminat menceburi projek ladang rakyat ini,”katanya bersama Menteri Kemudahan Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Baru di sini, hari Ahad.


Rubiah berkata bulan lepas ketika masih menjadi Ahli Parlimen Kota Samarahan beliau telah dimaklumkan tentang masalah yang dihadapi penduduk kampung di Kota Samarahan termasuk Kampung Baru yang ada sekitar 5,000 penduduk bagi menyertai projek ladang rakyat terbabit.

“Saya yakin hasil hubungan dan komunikasi yang baik antara kamu (penduduk kampung di Kota Samarahan ) dengan wakil rakyat (Parlimen kawasan ini nanti) segala perkara ini akan dapat diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk kampung Kota Samarahan sekali lagi mengundi BN pada pilihanraya umum ini supaya beliau dapat terus menjadi wakil rakyat Parlimen mereka dan menjadi tempat mereka mengadukan sebarang masalah bagi dibantu diselesaikan.

Katanya selain menyelesaikan masalah penduduk kampung Kota Samarahan, BN juga banyak membawa pembangunan ke kawasan kampung seperti membiak pulih sekolah usang, menaiktaraf sistem perparitan, pembekalan air dan elektrik dan pembinaan jambatan termasuk Jambatan Batang Samarahan yang akan siap tidak lama lagi. — DayakDaily