Fadillah: BN akan mengekang taktik kotor yang dijangka digunakan pembangkang untuk mempengaruhi pengundi pada saat akhir

Fadillah (kanan) semasa bertemu dengan rakyat di kawasan Parlimen Petra Jaya.

KUCHING, Mei 8: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) perlu memantau di setiap kawasan sebagai langkah mengekang kegiatan serta taktik kotor yang dijangka digunakan oleh pembangkang untuk mempengaruhi pengundi.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata ia kerana seperti kebiasaannya dalam setiap pilihan raya, pelbagai taktik akan digunakan oleh pembangkang untuk meraih undi terutama pada saat-saat akhir hari mengundi.

“Kita perlu mengambil langkah untuk mengekang taktik kotor yang digunakan oleh pembangkang ini, di mana saya percaya mereka akan melakukannya dalam pelbagai cara termasuk menyebarkan perkara yang tidak berasas yang akhirnya membuatkan pengundi marah kepada seseorang calon dan juga BN,” katanya.


Sementara itu, Fadillah turut mengingatkan pengundi khususnya di kubu kuat BN supaya turun mengundi pada Mei 9 ini bagi memastikan BN mencapai kemenangan yang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Tambahnya, ia termasuk di Petra Jaya walaupun beliau mempunyai potensi yang besar untuk menang.

Jelas beliau yang juga penyandang Parlimen Petra Jaya, kawasan ini merupakan antara kubu kuat BN selama ini dan beliau yakin akan dapat mempertahankan semula kerusi berkenaan dalam PRU14.

“Saya yakin Petra Jaya akan kekal dimenangi oleh BN namun pengundi khususnya tidak boleh terlalu selesa.

“Semua kita harus keluar mengundi, jangan kerana terlalu yakin saya boleh menang kemudian tidak mahu keluar mengundi kerana ini akan membuatkan perkara sebaliknya berlaku,” katanya. — DayakDaily