Willie: KPPK siasat syarat lesen pembelian minyak sawit mentah

Willie (dua dari kiri) memeriksa minyak masak bersubsidi pek 1kg yang dikeluarkan EAPP semasa lawatan tersebut. Turut kelihatan Murphy (kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Feb: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melakukan siasatan berhubung permasalahan untuk mendapatkan lesen membeli minyak sawit mentah yang dihadapi syarikat East Asia Palm Products Sdn Bhd (EAPP).

Timbalan Menteri KPPK Datuk Willie Mongin berkata, syarikat tersebut mendakwa berdepan dengan masalah kos pengeluaran yang tinggi berikutan syarat lesen yang hanya membenarkan membeli bekalan dari Bintulu sahaja.


Katanya, keutamaan adalah diberikan untuk membeli minyak segar mentah dari kilang penapis yang berdekatan untuk menjimatkan kos pengeluaran syarikat.

“Mengenai lesen untuk pembelian mintak sawit mentah yang dihadapi syarikat EAPP, syarikat sekarang membeli bekalan daripada syarikat penapis minyak di Bintulu.

“Disebabkan bekalan diperolehi daripada Bintulu, syarikat terbabit telah membelanjakan lebih RM100 bagi setiap tan dan ini satu jumlah yang tinggi kerana syarikat memerlukan kuantiti yang banyak.

“EAPP memiliki paip sedia ada di mana bekalan minyak segar mentah boleh disalurkan dari kilang penapis bersebelahan, tetapi mereka tiada lesen,” ujar beliau dalam sidang media selesai lawatan ke Kilang EAPP di Asar Senari di Jalan Bako di sini, hari ini.

Tambah Willie, perkara tersebut akan diteliti kerana jika EAPP membeli minyak segar mentah dari kilang penapis yang berdekatan, ia mampu menjimatkan kos pengeluaran.

Jelas beliau, dengan penjimatan itu nanti EAPP boleh mengeluarkan minyak dengan harga berpatutan serta murah kepada pengguna di negeri ini.

Menyentuh mengenai lawatan ke kilang EAPP, Willie berkata ia bagi memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh penggiat industri sawit berikutan peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 pada masa ini terutama yang berpunca dari kluster tempat kerja.

“Penggiat industri agrikomoditi perlu memastikan pelaksanaan SOP yang ketat dijalankan di semua ladang dan kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Majikan diingatkan untuk mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Pekerja dan Kemudahan Pekerja (Pindaaan) 2019 (Akta 446).

“Pematuhan ini penting bagi memastikan pekerja mempunyai tempat kediaman yang bersih dan kondusif serta mengelakan kesesakan,” ujar beliau.

Turut hadir Ketua Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Sarawak Murphy Solomon dan CEO EAPP Andrew Nguang. — DayakDaily