Willie: Hampir separuh penduduk Kampung Jambu, Padawan dikuarantin

Willie ketika ditemui di Kuching hari ini

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Nota: Artikel ini berbeza dengan versi awal dan telah diubah suai untuk ketepatan maklumat. Segala kesulitan amat dikesali.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Feb: Hampir separuh daripada penduduk Kampung Jambu di Padawan telah dikuarantin akibat penularan jangkitan Covid-19, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin.



Beliau yang juga MP Puncak Borneo berkata, selain Kampung Jambu terdapat tiga buah kampung lain di daerah Padawan turut terjejas dengan wabak tersebut.

“Saya telah meneliti dan menerima laporan bahawa setakat ini ada 4 kampung terjejas, yang paling teruk ialah Kampung Jambu di mana hampir separuh daripada penduduknya telah dikuarantin,’katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah selesai lawatan ke sebuah kilang di Asar Senari di Jalan Bako di sini, hari ini.

Pada semalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Kampung Emperoh Jambu, Padawan berkuatkuasa mulai 23 Februari (12.01 pagi) hingga 8 Mac 2021 (11.59 malam).

Dalam pada itu, Willie turut berkata bahawa jangkitan Covid-19 turut dikesan di Kampung Belimbing di Bau dan Kampung Sungai Pinang serta di kawasan Tringus Bung.

Justeru, beliau menasihati penduduk di kawasan Puncak Borneo untuk menangguhkan dahulu semua aktiviti keramaian untuk membendung
penularan wabak.

“Sekiranya ada majlis keramaian yang tiada keperluan mendesak, mungkin boleh ditangguhkan dahulu sehingga keadaan reda.

“Bagi majlis yang tidak dapat dielakan seperti upacara pengkebumian, saya harap pihak JawatanKuasa Keselamatan dan Kemajuan(JKK) Kampung dapat memantau Prosedur Operasi Standard(SOP),” ujar Willie.

Kluster Emperoh Jambu melibatkan Daerah Kuching, Samarahan dan Serian adalah kluster komuniti di mana indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,095 iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun warga tempatan yang dikesan melalui saringan sebelum bertugas pada 16 Februari 2021.

Kes indeks ini dipercayai telah menjangkiti ahli keluarga yang kemudian berkemungkinan telah merebak kepada kontak-kontak lain semasa upacara pengkebumian ahli keluarga isteri kes indeks pada 3 hingga 5 Februari lepas.

Hasil saringan dan pengesanan kontak rapat kepada indeks kes ini dan ahli keluarganya, tambahan 59 kes telah dikesan.

Sehingga semalam, sejumlah 337 individu telah disaring di mana 60 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk indeks kes, 40 kes negatif dan 237 kes masih menunggu keputusan makmal. – DayakDaily.