KUCHING, 16 April: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Wilayah Sarawak dan Sabah wajar diberi jawatan timbalan perdana menteri.
Menurut beliau, kedua-dua wilayah telah memainkan peranan penting sejak penubuhan Malaysia dan wajar diberikan jawatan tinggi di dalam pentadbiran negara.
“Pada pandangan pribadi saya, kalau tidak jawatan perdana menteri, tidak salah bagi Wilayah Sarawak dan Sabah diberi jawatan timbalan perdana menteri.
“Mungkin dua jawatan timbalan perdana menteri atau satu jawatan untuk digilirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Program Kasih Belia Ramadan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersetuju untuk mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Abdul Karim melihat ia satu perkembangan yang baik.
Katanya yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan, ia adalah usaha untuk menstabilkan keadaan politik negara.
“Kalau terlalu banyak nama daripada pemimpin UMNO dicalonkan, kemungkinan ada yang tidak diterima oleh rakyat ekoran kes mahkamah.
“Ia akan menyebabkan keadaan yang tidak stabil,” tegas Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Berhubung keputusan MKT UMNO untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) selepas tamat pada 31 Julai ini, Abdul Karim menyifatkan ia adalah satu situasi politik di Semenanjung Malaysia.
Namun, beliau meletakan harapan tinggi agar politik negara terus stabil. — DayakDaily