Warga tempatan ditangkap cuba seludup PATI di Lundu

PATI dan tekong yang ditangkap dalam operasi tersebut.

LUNDU, 22 Mei: Tiga lelaki disyaki pengkhianat negara ditangkap dalam cubaan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata ketiga-tiga lelaki yang berperanan sebagai tekong darat itu ditangkap bersama tiga warga Indonesia melalui jalan sebuah ladang sawit, di sini sekitar jam 6 pagi.

Katanya, kesemua suspek semasa kejadian menunggang tiga buah motosikal dari arah Indonesia.


“Hasil pemeriksaan yang dibuat mendapati 3 individu merupakan lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 35 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong untuk membawa masuk PATI ke negara ini menerusi laluan yang tidak sah.

“Manakala seorang wanita dan dua lelaki lagi merupakan PATI warga Indonesia berusia 38 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, pemeriksaan lanjut juga berjaya menemui satu bungkusan dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 10 gram.

Kesemua suspek kemudian ditahan dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan RM20,248 melibatkan tiga buah motosikal, wang tunai serta enam unit telefon bimbit,” katanya. — DayakDaily