Aliran trafik dari Jejambat Batu 10 ke Jejambat Batu 4 lancar penghujung Jun ini

Fadillah (duduk tengah) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

 

KUCHING, 22 Mei: Aliran trafik di Jalan Penrissen dijadualkan lancar pada penghujung bulan Jun ini, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.


Menurut beliau, ia adalah komitmen dari pihak kontraktor dengan satu lorong akan dibuka di Jejambat Batu 7 sebelum Perayaan Hari Gawai.

“Manakala satu lorong di Jejambat Batu 6 akan dibuka di penghujung Jun ini. Teruskan bersabar kepada semua pengguna jalan raya.

“Semua jejambat ini akan siap dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selesai merasmikan Pembukaan Jejambat Batu 10 Seksyen Kuching Serian Road (KSR) di sini, hari ini.

Tambah Fadillah, Jejambat Batu 10 KSR merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Pakej Kerja 2 dari Sematan ke Kuching.

Projek telah bermula pada 1 November 2016 dengan kos keseluruhan pembinaan berjumlah RM323 juta termasuk jejambat Batu 4, Batu 6 dan Batu 7.

“Menerusi pembukaan Jejambat Batu 10 ini, ia secara tidak langsung akan membantu memudahkan aliran trafik antara Kuching ke Padawan dan Siburan.

“Projek ini juga menjadi pemangkin kepada pembangunan di sepanjang jajaran contohnya Puncak Borneo, Mambong, Landeh, Kampung Panchor, Tapah, dengan akses jalan raya yang lebih baik,” ujar Fadillah.

Pada sidang media yang sama, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan melakukan kajian sama ada akan menutup persimpangan lampu isyarat ke arah pusat komersil di Batu 9.

Katanya, keselamatan pengguna adalah lebih diutamakan daripada keselesaan. — DayakDaily